ALOR SETAR – Biskut naga yang memberi keseronokan kepada yang menikmatinya bertukar menjadi makanan berbahaya apabila berlaku lima kes anggota badan melecur.
Setiausaha Eksekutif Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, biskut naga yang boleh diperolehi sekitar RM10 setiap 20 keping.
“Ramai anak muda gemar mencuba ‘biskut berasap’ sebab mungkin mereka rasa seronok kerana hanya memasukkan biskut dalam mulut, ia akan mengeluarkan asap seakan-akan asap rokok.
“Keseronokan itu akhirnya membawa padah apabila lidah mereka menjadi bengkak dan kulit tangan melecur dipercayai kesan daripada cecair nitrogen yang terdapat pada biskut berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, biskut yang menjadi fenomena seluruh dunia itu juga mudah didapati di sekitar pusat bandar sejak kebelakangan ini.
“Aduan pertama kita terima pada Khamis lalu apabila seorang pengguna mengalami bengkak di bahagian lidah setelah makan biskut berkenaan.
“Kemudian kita terima pula aduan daripada pengguna yang melecur di tangan selepas memegang biskut tersebut yang dipercayai ada bahan campuran berbahaya,” katanya.
Menurutnya, insiden itu memerlukan perhatian serius daripada pelbagai pihak untuk mengelak lebih ramai pengguna menjadi mangsa.
“Pada saya, ini satu budaya tidak elok yang cuba dibawa masuk oleh pihak luar. Kita kena tangani perkara ini secepat mungkin demi keselamatan pengguna,” katanya.